Berita

Suzuki Malaysia Lancar SV-7GX Serba Baharu

Kuala Lumpur, 23 November 2026 – Suzuki Malaysia secara rasminya memperkenalkan Suzuki SV-7GX serba baharu, sebuah motosikal crossover kelas pertengahan yang membawa semangat SV650 yang legenda ke generasi baharu. Ia menggabungkan ketangkasan motosikal sporty dengan posisi tunggangan tegak dan keupayaan serba boleh motosikal pengembaraan, justeru sesuai untuk perjalanan harian, laluan berliku hingga pengembaraan hujung minggu.

SV-7GX dilancarkan pada AMI Suzuki New Model Launch & Gala Dinner 2026 yang berlangsung di Tingkat 3, Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South. Majlis dirasmikan oleh YBhg. Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama Mr. Takashi Ise, Pegawai Pengurusan dan Pengurus Besar Eksekutif, Operasi Motosikal, Suzuki Motor Corporation, Jepun.

Pasaran terus berkembang

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Ahmad Faez bin Tan Sri Yahaya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., menyatakan bahawa 534,886 motosikal dan skuter baharu telah didaftarkan di seluruh negara dari Januari hingga Ogos 2026.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia masih memilih motosikal sebagai pengangkutan peribadi untuk kegunaan kehidupan seharian mereka.” – Dato’ Ahmad Faez

Beliau turut menegaskan bahawa motosikal kekal sebagai pilihan nombor satu pengangkutan peribadi di Malaysia, walaupun pendaftaran kereta baharu meningkat pada 2026.

Kehendak penunggang juga berubah. Semakin ramai berminat dengan motosikal berkapasiti enjin besar, tetapi kelajuan bukan lagi satu-satunya perkara yang dicari.

“Apabila kita sebut higher cc, ramai akan terus berfikir tentang kelajuan. Tapi, kita juga akui yang riders hari ini juga perlu pada ciri keselamatan, keselesaan, connected features seperti sambungan Bluetooth kepada telefon bimbit dan keyakinan ketika menunggang di jalan raya.” – Dato’ Ahmad Faez

Enjin V-Twin yang sudah dipercayai

SV-7GX dikuasakan oleh enjin 645cc liquid-cooled, DOHC, 90° V-Twin yang telah terbukti, dengan peminat setia selama lebih dua dekad. Dalam ucapannya, Dato’ Faez menyebut enjin baharu ini mematuhi piawaian Euro 5 dan selari dengan permintaan penunggang di seluruh dunia. Kuasanya lancar dan mudah dikawal dengan lengkung tork yang luas dan linear, sama ada di jalan bandar atau jalan terbuka.

“Enjin ini lancar, bertenaga dan motosikal yang menggunakannya mudah dikendalikan. Motosikalnya terus mara dan anda terus menikmati perjalanan.” – Dato’ Ahmad Faez

Enjin ini dipadankan dengan rangka tubular steel trellis yang ringan untuk profil lebih langsing dan pengendalian tangkas. Suspensi jarak gerakan panjang digabungkan dengan dua cakera brek hadapan floating 290mm, angkup empat omboh dan ABS bagi kawalan dan kestabilan yang lebih baik.

Tunggangan lebih pintar dengan S.I.R.S.

SV-7GX dilengkapi Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang merangkumi:

  • Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) untuk memilih karakter penyampaian kuasa mengikut keadaan jalan dan citarasa
  • Suzuki Traction Control System (STCS) dengan tiga mod serta tetapan OFF
  • Bi-directional Quick Shift System untuk pertukaran gear naik dan turun tanpa klac
  • Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist untuk permulaan dan pergerakan kelajuan rendah yang lebih lancar
  • Paparan TFT berwarna penuh 4.2 inci dengan Suzuki Ride Connect+, yang boleh disambungkan ke telefon pintar iOS dan Android untuk navigasi turn-by-turn, pemberitahuan panggilan dan mesej, serta maklumat cuaca dan trafik
  • Port USB Type-C untuk pengecasan peranti

Direka untuk perjalanan lebih jauh

Keselesaan dan praktikaliti turut diberi perhatian. SV-7GX menampilkan cermin angin boleh laras tiga tahap, tempat duduk yang direka semula dengan kusyen lebih tebal, pelindung buku jari bersepadu dan tangki bahan api 17.4 liter untuk jarak lebih jauh antara hentian mengisi minyak. Rak belakang jenis moulded dan pemegang belakang yang besar menambah keupayaan membawa barang, manakala pencahayaan LED sepenuhnya, termasuk lampu utama projektor LED dwi-fungsi, memberikan penampilan moden dan tersendiri.

Penunggang boleh menyesuaikan motosikal dengan Suzuki Genuine Accessories seperti Comfort High Seat, Touring Screen, Top Case, Soft Side Cases dan Grip Heaters, bergantung pada ketersediaan di pasaran Malaysia.

Lebih daripada sebuah motosikal: pengalaman pemilikan

Malam pelancaran ini juga menjadi penghargaan kepada rangkaian pengedar Suzuki. Dato’ Faez mengumumkan bahawa AMI akan memperkenalkan GX World Concept Stores, tempat pelanggan boleh mengenali model Suzuki dengan lebih mendalam, mendapatkan khidmat selepas jualan yang lebih kukuh, alat ganti asli, aksesori bermutu tinggi dan menyertai pelbagai aktiviti komuniti penunggang Suzuki.

“Kami mahu ia menjadi tempat yang penunggang kembali sepanjang tempoh pemilikan, sama ada untuk menservis motosikal atau berjumpa komuniti tunggangan.” – Dato’ Ahmad Faez (diterjemahkan)

Kepada rakan pengedar Suzuki big bike, termasuk pengedar gold dan silver, beliau berkata:

“Anda mewakili Suzuki di bandar dan negeri masing-masing. Anda adalah keluarga besar kami dan wakil SUZUKI yang akan ditemui rakyat apabila mereka mula-mula melangkah masuk.” – Dato’ Ahmad Faez (sebahagian diterjemahkan)

Harga dan warna

Suzuki SV-7GX ditawarkan pada harga RM37,900.00, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Ia tersedia dalam empat pilihan warna:

  • Pearl Brilliant White / Metallic Triton Blue
  • Pearl Mat Greige
  • Glass Sparkle Black
  • Pearl Brilliant White

Untuk maklumat lanjut dan lokasi bilik pameran sah Suzuki yang terdekat, layari www.suzuki.com.my.

Seperti kata Dato’ Faez ketika memperkenalkan crossover baharu ini: “Malam ini, enjin yang terbukti itu memulakan bab baharu dalam SV-7GX. Satu motosikal yang dibina untuk setiap perjalanan.”

Suzuki SV-7GX: Dengan Setiap Denyutan, Lahir Pengalaman Baharu.

Redzuan Ramesh

Editor dan Perhubungan Awam (PR) untuk Motosikalisme. Mempunyai pengalaman menunggang selama lebih 20 tahun. Berpengalaman dalam menganjurkan perhimpunan dan perlumbaan kenderaan dua roda, Kejohanan OMR Suzuki bersama MOTUL 2024

More from this author