Panduan Selamat Mengambil Selekoh Motosikal di Jalan Raya

Mengambil selekoh memang antara perkara yang menyeronokkan ketika menunggang motosikal. Lebih-lebih lagi apabila kita dapat mengawal motosikal dengan lancar, mengekalkan kestabilan dan keluar dari selekoh tanpa perlu membuat pembetulan secara mengejut.
Tetapi, jalan raya bukan litar perlumbaan. Selekoh yang nampak mudah sekalipun boleh menjadi berbahaya jika kita tersalah mengagak kelajuan, mengambil laluan yang salah atau terlalu yakin dengan kemampuan sendiri.
1. kelajuan Memasuki Selekoh
Kelajuan yang sesuai bergantung pada bentuk selekoh, keadaan permukaan jalan, cuaca, penglihatan dan jenis motosikal yang ditunggang.
Jangan ikut kelajuan orang lain hanya kerana mereka menggunakan motosikal yang sama kerana setiap orang mempunyai tahap kemahiran yang berbeza.
2. Pilih Laluan Yang Selamat
Ketika mengambil selekoh, pastikan motosikal kekal dalam lorong sendiri. Jangan terlalu melebar sehingga memasuki laluan bertentangan atau menghampiri kenderaan yang datang dari arah hadapan.
Di jalan awam, kita tidak boleh menganggap seluruh permukaan jalan sebagai ruang untuk mengambil racing line seperti di litar.
3. Pandang Ke Arah Laluan Yang Hendak Dituju
Arahkan pandangan ke arah laluan yang hendak dilalui. Imbas keadaan jalan, kedudukan kenderaan lain dan kemungkinan bahaya yang mungkin muncul selepas selekoh.
Selekoh yang terlindung mungkin mempunyai kenderaan berhenti, lubang, pasir atau kenderaan yang memasuki laluan kita.
Jika pandangan terhad, kurangkan kelajuan supaya motosikal boleh dihentikan dalam jarak yang dapat dilihat dan dijangka selamat.
4. Jangan Terlalu Condong Sehingga Hilang Cengkaman
Motosikal perlu condong ketika membelok, tetapi sudut kecondongan yang diperlukan bergantung pada kelajuan, radius selekoh, keadaan tayar dan permukaan jalan.
Tidak perlu memaksa motosikal condong terlalu banyak semata-mata mahu nampak hebat. Di jalan awam, permukaan jalan tidak semestinya bersih dan sekata seperti di litar kerana pasir halus, minyak, batu kecil, garisan jalan yang licin ketika basah boleh mengurangkan cengkaman tayar.
5. Kawal pendikit Dengan Lancar
Ketika mengambil selekoh, elakkan memulas pendikit secara mengejut atau menutupnya secara mendadak kerana perubahan input yang kasar boleh mengganggu kestabilan motosikal.
Utamakan kawalan dan tindakan yang sesuai dengan keadaan. Tiada satu teknik yang sesuai untuk semua situasi, ia juga berbeza bergantung kepada jenis motosikal yang digunakan.
5. hujan dan Jalan Basah
Jalan basah memerlukan lebih banyak perhatian kerana cengkaman tayar boleh berkurangan. Air yang bertakung, minyak dan pasir boleh menjadikan selekoh lebih berisiko.
Cuba kekalkan motosikal dalam keadaan lebih tegak ketika melintasi permukaan yang diketahui licin.
6. Jangan Terikut-Terikut Gaya Penunggang Lain
Jangan jadikan penunggang di hadapan sebagai penentu kelajuan sendiri. Kekalkan rentak yang selesa, patuhi had laju dan jangan memaksa diri.
Kesimpulan
Mengambil selekoh dengan selamat bukan bermaksud kita perlu menunggang terlalu perlahan sepanjang masa. Apa yang penting ialah tahu membaca keadaan jalan, memilih kelajuan yang sesuai, mengekalkan kawalan motosikal dan menghormati ruang pengguna jalan raya lain.
Jangan masuk ke selekoh terlalu laju, jangan makan lorong orang dan jangan memaksa motosikal mengikut gaya penunggang lain. Apabila keadaan jalan tidak jelas, kurangkan kelajuan dan berikan diri sendiri lebih banyak ruang untuk bertindak.
Tunggang dengan bijak, ambil selekoh dengan terkawal dan pastikan setiap perjalanan berakhir dengan selamat.
