Berita

ZXMOTO 500F TIBA DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Peminat motosikal berprestasi tinggi di Malaysia kini mempunyai pilihan baharu yang mantap dalam segmen jentera naked sporty. Diperkenalkan secara rasmi semasa acara pelancaran gah “Rise of the Champions” bersempena Gala Musim Luruh Mforce 2026, ZXMOTO 500F serba baharu kini berada di pasaran Malaysia secara rasmi. Diedarkan secara tempatan oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., jentera empat silinder sebaris ini bertujuan untuk mentakrifkan semula kategori naked pertengahan dengan menawarkan kejuruteraan teknikal premium pada harga yang sangat kompetitif. 


Majlis pelancaran tersebut diraikan dengan penuh meriah dan dihadiri oleh Pengasas Chongqing ZXMOTO Sales Co., Ltd., Encik Zhang Xue; Pengarah Perdagangan Luar, Encik Paul Huang; Pengarah Urusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Sri Leo Tan; serta Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong. Kehadiran barisan eksekutif tertinggi ini menonjolkan kepentingan strategik pasaran Malaysia bagi jenama tersebut. 

Nadi Empat Silinder

Tumpuan utama ZXMOTO 500F tertumpu pada enjin 470 cc empat silinder, 16-injap, DOHC sejukan cecair yang direka untuk rpm tinggi dan hantaran kuasa yang lancar. Enjin ini menampilkan saiz ‘bore dan stroke’ 59 × 43 mm dengan nisbah mampatan 12:1. Ia menghasilkan kuasa maksimum 54 kW pada 11,000 rpm dan tork maksimum 48 N.m pada 9,500 rpm. Bagi memastikan pertukaran gear bawah yang lancar serta mengawal kestabilan roda belakang semasa brek mengejut, ZXMOTO memadankan enjin ini dengan sistem klac jenis ‘wet multi-plate slipper clutch’. 

Casis dan Dinamik Suspensi Boleh Laras
Model 500F ini dibina berasaskan kerangka ‘Double Cradle Frame’ dengan ‘Steel Trellis Structure’ yang menawarkan keseimbangan ideal antara ketegaran casis dan kelincahan pengendalian di jalanan. Tugas menyerap hentakan dikendalikan oleh suspensi hadapan jenis terbalik (inverted front forks) dengan redaman boleh laras, dipadankan dengan konfigurasi monoshock tengah di bahagian belakang yang menawarkan prabeban (preload) boleh laras. Ini memberikan fleksibiliti penuh kepada penunggang untuk menetapkan kelarasan tunggangan yang sesuai sama ada untuk layan selekoh di hujung minggu mahupun tunggangan harian di bandar. 


Prestasi membrek yang meyakinkan dikendalikan oleh cakera terapung berkembar 300 mm di bahagian hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang, disokong sepenuhnya oleh Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran. Motosikal ini menggunakan tayar bersaiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di bahagian belakang untuk memastikan cengkaman yang optimum. 

Rangkaian Elektronik Premium
Walaupun tampil dengan gaya jalanan yang agresif, model 500F tidak mengetepikan aspek teknologi moden. Ruang kokpit dilengkapi meter jarum analog klasik dengan paparan LCD pusat. Ciri keselamatan dan bantuan elektronik penunggang termasuk: 

  • Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) 
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) 
  • Dua mod tunggangan (Eco dan Sport) 
  • Sistem pencahayaan LED sepenuhnya dengan Lampu Larian Siang (DRL) 
  • Port pengecasan USB yang mudah 

Harga, Dimensi, dan Waranti


Dari segi fizikal, motosikal ini berukuran 2,015 mm panjang, 800 mm lebar, dan 1,060 mm tinggi, dengan ketinggian pelana 795 mm yang sangat mesra penunggang serta berat curb 175 kg. Tangki bahan api bersaiz 15 liter pula menjanjikan jarak tunggangan yang memuaskan antara sesi pengisian minyak. 


ZXMOTO 500F memasuki pasaran tempatan dengan harga jualan asas RM28,888.00. Pelanggan boleh memilih daripada tiga kemasan warna premium: Phantom Black, Crimson Red, dan Arctic White. Bagi memberikan ketenangan minda, Mforce menyokong model ini dengan waranti komprehensif selama 2 tahun atau 20,000 km. Menariknya, jika perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun, komponen utama enjin tetap dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had untuk baki tempoh waranti tersebut.