VOGE SR450X Rasmi di Pasaran Malaysia: Skuter Kembara Dwi-Silinder pada Harga RM29,888
VOGE secara rasmi memulakan jualan SR450X di Malaysia. Skuter kembara premium ini mula diperkenalkan pada 29 Mei 2026 sempena Malaysia Bike Show (Mforce MotoXperience 2026) di MAEPS Serdang. Ditawarkan pada harga RM29,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini disasarkan kepada penunggang yang mahukan satu tunggangan untuk kegunaan harian dan pengembaraan hhujung minggu.
SR450X ditawarkan dalam tiga pilihan warna: Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black.
Kuasa enjin dwi-silinder
SR450X dikuasakan enjin 398 cc dwi-silinder, 4 lejang, 8 injap dengan penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 31 kW pada 8,000 rpm dan tork maksimum 42 Nm pada 5,750 rpm. Menurut VOGE, konfigurasi ini menjadikannya skuter kembara premium pertama dalam segmennya yang menggunakan enjin dwi-silinder.
Spesifikasi enjin lain termasuk ukuran piston dan lejang 84 × 72 mm, nisbah mampatan 11:1, sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) dan sistem pencucuhan TCI. Kuasa disalurkan melalui transmisi automatik dengan pacuan tali sawat, manakala sistem pendikit dwi-kabel membantu memberikan tindak balas pendikit yang lebih lancar dan tepat. Penunggang boleh memilih antara mod tunggangan Normal dan Sport, dan tangki bahan api 18 liter menyokong perjalanan yang lebih jauh.
Suspensi dan brek
Di hadapan terdapat fork teleskopik terbalik KYB 37 mm dengan redaman boleh laras sepenuhnya dan jarak pergerakan 122 mm. Di belakang, penyerap hentak berkembar jenis ruang udara KYB menawarkan pelarasan prabeban dan redaman mampatan dengan jarak pergerakan 123 mm, disokong lengan ayun aluminium aloi satu sisi.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal terapung 300 mm dengan angkup empat piston J.JUAN di hadapan, serta cakera tunggal 240 mm dengan angkup empat piston NISSIN di belakang. SR450X turut dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh diaktifkan atau dinyahaktifkan, serta sistem Pengesanan Titik Buta untuk membantu penunggang mengesan kenderaan dalam titik buta.
Sedia untuk pengembaraan
Skuter ini menggunakan rim jejari bersama tayar blok MAXXIS bersaiz 110/70-17 di hadapan dan 150/70-17 di belakang. Ia juga datang dengan pelindung tangan, lampu kabus, pelapik kaki anti-gelincir gaya off-road dan palang pelindung.
Ciri dan kemudahan
Senarai kelengkapan standardnya panjang:
- Paparan TFT berwarna 7 inci dengan navigasi paparan skrin melalui aplikasi Carbit Ride
- Sambungan Bluetooth untuk panggilan, nombor kenalan dan muzik
- Sistem tanpa kunci dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
- Pemanas grip tiga tahap, serta pemanas tempat duduk untuk penunggang dan pembonceng
- Penghadang angin boleh laras bermotor
- Sistem kamera papan pemuka hadapan dan belakang
- Pencahayaan LED sepenuhnya (lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat, lampu kecemasan dan lampu nombor pendaftaran)
- Port pengecas USB Type-A dan Type-C, serta sumber kuasa tambahan di ruang simpanan
- Ruang simpanan hadapan dan bawah tempat duduk, penyerap hentak hidraulik pembukaan tempat duduk, butang pembukaan tempat duduk, cangkuk utiliti dan tuil brek parkir
- Suis keselamatan tongkat sisi
Spesifikasi utama
- Enjin: 398 cc, penyejukan cecair, 4 lejang, 8 injap, dwi-silinder
- Kuasa: 31 kW @ 8,000 rpm
- Tork: 42 Nm @ 5,750 rpm
- Transmisi: Automatik, pacuan tali sawat
- Tangki bahan api: 18 liter
- Panjang / Lebar / Tinggi: 2,165 / 879 / 1,440 mm
- Jarak roda: 1,518 mm
- Ketinggian tempat duduk: 795 mm
- Kelegaan tanah: 180 mm
- Berat siap diisi: 220 kg
Waranti dan khidmat selepas jualan
Setiap pembelian SR450X disertakan waranti 2 tahun, dengan perlindungan komprehensif penuh selama 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana terdahulu). Jika perbatuan melebihi 20,000 km dalam tempoh 2 tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti. Pembeli juga boleh menikmati perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh VOGE Malaysia. Tertakluk kepada terma dan syarat.
Pandangan kami
Dengan enjin dwi-silinder, suspensi KYB boleh laras, pemanas grip ,serta kamera papan pemuka yang semuanya tersedia, SR450X menawarkan banyak ciri pada harga hanya RM29,888. Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana prestasinya berbanding pesaing sedia ada dalam kelas skuter kembara apabila kami berpeluang untuk tunggang mencubanya di jalan raya nanti.
Tentang VOGE: Loncin mula menghasilkan motosikal pada tahun 1983 di Chongqing, China, dan kini menjual produknya di lebih 100 negara. VOGE ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai jenama subsidiari premium Loncin.



























