Dari Litar ke Jalan Raya: Aprilia Pertontonkan RS 457 GP Replica di MotoGP Malaysia 2026
SEPANG — Membawa aura perlumbaan sebenar terus ke jalan raya, Didi Group selaku pengimport dan pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia telah memperkenalkan Aprilia RS 457 GP Replica edisi khas sempena perlumbaan PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026. Pratonton istimewa ini telah dirasmikan oleh pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi, sekaligus membakar semangat peminat sukan pemotoran tanah air.
Gaya Ala Jentera Paddock MotoGP
Diinspirasikan daripada jentera perlumbaan RS-GP milik Aprilia, RS 457 GP Replica tampil agresif menerusi kemasan warna hitam gabungan kemasan kilat (gloss) dan matte, serta diiringi grafik corak perlumbjaan. Penampilan sporty ini disempurnakan lagi dengan komponen aluminium berona gelap pada bahagian kerangka, lengan ayun (swingarm), dan plat stereng.
Naiktaraf Berasaskan Prestasi
Selain penampilannya yang memukau, versi khas ini turut dilengkapi dengan beberapa penambahbaikan prestasi yang ketara untuk pengalaman tunggangan yang lebih dinamik:
- Quickshifter: Membolehkan pertukaran gear tinggi (upshift) dilakukan tanpa perlu menggunakan cengkam.
- Pelapik Brek Hadapan Naik Taraf: Memberikan prestasi cengkaman brek yang lebih mantap dan responsif.
- Kov Pengganti Tempat Duduk Belakang (Single-Seat Cowl): Menyerlahkan lagi DNA jentera perlumbaan sejati.
Enjin dan Dinamik Pengendalian
Jentera ini digerakkan oleh enjin 457cc dua-silinder sebaris (parallel-twin) yangenjinya dikongsi bersama model standard RS 457. Gandingan kerangka yang ringan serta pengendalian yang lincah menjadikan RS 457 GP Replica sebuah jentera yang menyeronokkan untuk prestasi sukan mahupun kegunaan harian.
Harga dan Ketersediaan
Aprilia RS 457 GP Replica ini diletakkan pada tanda harga RM35,900 dan bakal berada di pasaran menerusi rangkaian pengedar sah Aprilia di seluruh Malaysia. Ia merupakan pilihan tepat bagi generasi pelumba baharu yang ingin merasai DNA perlumbaan sebenar Aprilia.











